Mual dan Muntah
Ini berlaku akibat kesan sampingan pada perubahan hormon dan turun naik gula darah dalam badan. Ini dapat dikurangkan dengan minum teh, makan biskut manis, roti bakar atau madu pada awal pagi. Makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Tahap vitamin B6 yang rendah dalam sistem badan akan menjadikan masalah ini bertambah buruk. Anda boleh mendapatkan tambahan vitamin B6. Kadangkala, halia juga dapat melegakan masalah mual.
Cara lain mengatasinya :
•Elak minuman yang tidak menyenangkan anda seperti kopi, susu atau jus buah-buahan
•Jangan makan sebarang ubat tanpa nasihat doktor
•Berjumpa doktor segera jika anda kerap muntah dan berat badan menurun
•Banyak berehat
•Pakai pakaian yang selesa
Perubahan Payudara
Pada peringkat awal, payudara terasa sensitif dan berdenyut. Puting menjadi sakit bila disentuh kerana kelenjar susu sedang berkembang dan bekalan darah semakin bertambah. Puting juga semakin gelap warnanya. Anda perlu memakai baju dalam khusus untuk orang mengandung. Carilah baju dalam yang baik untuk mengelakkan ketegangan pada tisu payudara. Dapatkan nasihat pakar untuk mendapatkan baju dalam yang baik.
Kerap kencing
Masalah ini timbul ketika bayi membesar melebihi pelvik dan rahim tidak lagi menekan tepat pada pundi kencing.
Lelehan Dari Faraj
Apabila kandungan membesar, lelehan pada faraj akan semakin banyak. Lelehan yang terlalu banyak mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria. Oleh itu, segera dapatkan nasihat bidan atau doktor.
Letih dan Mengantuk
Ini perkara biasa kerana badan anda perlukan penyesuaian akibat perubahan demi perubahan yang membabitkan perkembangan mendadak tisu baru dalam badan. Pada penghujung tiga bulan, rahim semakin mengembang keluar daripada rongga pelvik. Fundus akan terasa berada antara tulang tundun dan pusat.
Popularity: 35% [?]